Thursday, August 25, 2011

Sokongan Kepada 'Royal UiTM'


Baru-baru ini, di persidangan Konvensyen Memperkasa Ekonomi Melayu anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Prof.Dr.Ir Sahol hamdi Abu Bakar FASc mengulangi hasrat untuk menjadikan UiTM sebagai universiti diraja atau jolokannya ‘Royal UiTM’.
                Penulis pertama kali mendengar hasrat ‘mengejutkan’ itu adalah pada satu sesi dialog sebuah majlis perasmian sekitar 2010 di Kuala Lumpur. Walaupun kurang memahami hasratnya permulaannya,tetapi penulis faham ia berkaitan dengan menjadikan UiTM kekal dengan status quo nya untuk pelajar-pelajar Melayu.
                Dengan pengishtiharan itu juga, diharapkan UiTM akan dinaungi raja-raja Melayu. Tambahan pula, tiap-tiap pelantikan Canselor UiTM adalah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
                Semasa UiTM dibawah kepimpinan Datuk Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah, beliau berhasrat menjadikan UiTM Shah Alam sebuah kampus yang hanya menawarkan program-program di peringkat Sarjana dan ke atas. Bagi warga UiTM dan pejuang-pejuang pendidikan Melayu, hasrat ini mudah difahami iaitu dengan sempurnanya hasrat ini, bilangan orang Melayu pemegang ijazah sarjana dan ke atas dapat ditingkatkan dengan sekali ganda.
                Lebih-lebih lagi, semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau mengarahkan pihak UiTM meningkatkan enrolmen pelajar kepada 200,000 orang. Satu jumlah yang sangat besar yang pada ketika itu UiTM mempunyai seramai sekita 120,000 pelajar.
                Hasrat itu bukan hanya cakap-caka kosong. Sedikit demi sedikit, beberapa program sarjana muda telah dipindahkan ke kampus-kampus cawangan negeri.  Malah, UiTM berjaya meningkatkan jumlah pelajarnya kepada lebih 200,000 orang pelajar dalam masa tidak sampai dua tahun. Kini, sasaran terbaru untuk mencapai jumlah 250,000 pelajar. Beberapa kampus baru telah dirancang dan disiapkan.
                Pun begitu, disebalik pencapaian yang membanggakan ini, yang menjadikan warga UiTM bangga dengannya adalah kerana universiti ini tidak pernah meminggirkan orang-orang susah yang kurang berjaya di peringkat sijil pelajaran Malaysia. Tidak ada universiti bahkan di peringkat dunia barangkali yang menyediakan peluang kedua kepada orang lain melalui program Mengubah Destini Anak Bangsa.
                Malah pada masa yang sama, kemasukan secara merit tetap dititikberatkan kepada pemohon-pemohon yang ingin memohon masuk.
                Yang menjadi jangkaan ramai pihak kini, dengan terishtiharnya ‘Royal UiTM’, kampus induk di Shah Alam akan menjadi kampus untuk pelajar pasca siswazah. Ini sudah pasti merupakan satu detik-detik yang amat dinantikan bagi seluruh warga UiTM dan pejuang-pejuang pendidikan Melayu. Malah penulis yang masih lagi menuntut di peringkat sarjana muda di kampus Shah Alam, sudah tidak sabar menunggu detik itu. Sudah pasti ia akan menjadi satu sejarah kepada pendidikan anak bangsa.
                Walaupun begitu, masih kurang pasti sama adal gelaran ‘Royal UiTM’ akan digunakan di kampus Shah Alam sahaja ataupun di seluruh sistem UiTM. Sama ada namanya akan menjadi Universiti Teknologi MARA Diraja atau Universiti Diraja Teknologi MARA, sama-samalah kita menunggu detik-detik bersejarah itu.

25-08-2011

No comments: